Wednesday, June 9, 2010

Luka Besar Kenyalang


Semua orang tahu Sarawak adalah sebuah negeri yang besar, kaya hasil mahsul, kaya kepelbagaian etnik suku kaum dan kaya sejarah peradabannya. Ini sama sekali tidak boleh dipertikaikan lagi. Pada masa yang sama, saya seringkali ’diserang’ dengan seribu satu pertanyaan berhubung hakikat dan realiti yang dilalui oleh warga Kenyalang, menurut pemerhatian mereka, Sarawak diakui memiliki segala-galanya, namun kekangan politik serta kedudukan ekonomi yang sebaliknya terus mencengkam minda warganya. Kerosakan politik dan kekayaan ekonomi negeri ini akan saya sentuh dalam bahagian seterusnya. Yang pasti, warga Sarawak amat susah hati, bimbang dengan beban tanggungan yang tidak terhingga dek runtuhnya institusi pemerintahan awam yang bersandarkan rakyat, yang sekarang bertunjangkan kepada kepentingan segelintir yang berpengaruh besar dan kaya.

Saya lebih suka menggunakan perkataan ’warga Sarawak’ atau ’warga Kenyalang’ berbanding ’orang Sarawak’ kerana konotasi tersebut yang buruk dan busuk membayangi ketamadunan Sarawak yang keterbelakang. Ini persepsi yang kerap saya fikirkan. Warga Sarawak atau Kenyalang, pada pandangan saya, lebih segar dan bermaruah bunyinya. Tidak kurang juga, pujian demi pujian ditaburkan kerana perpaduan kaum dan agama yang dipertahankan. Adakalanya, Sarawak dijadikan model teladan kepada Melayu, Cina dan India di Semenanjung yang sering bertelingkah, bertelagah dalam beberapa isu seperti agama dan hak keistimewaan.
Politik Kesepaduan Warga Sarawak.

Saya yakin bahawa sistem pendidikan yang didorong oleh campur tangan politik lemah dan tidak mencakupi keseluruhan agenda hubungan antara kaum, sebab mengapa rahsia tamadun warga Sarawak jarang diketahui. Ini bukan sahaja menjejaskan kefahaman warga Semenanjung terhadap Sarawak, akan tetapi, dikalangan warga Dayak sendiri khususnya, tidak mengerti budaya dan sejarah perjuangan suku kaumnya. Parah apabila, pengetahuan dan kesedaran cetek ini diadunkan dengan fahaman pecah dan perintah oleh regim Taib Mahmud sepanjang 30 tahun pemerintahannya. Lihat sajalah, berapa besar komponen politik Dayak, awalnya bangga dengan kejaguhan kepimpinan Parti Pesaka Anak Sarawak (Pesaka) oleh Jugah Barieng dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) yang dikendalikan oleh Stephen Kalong Ningkan. Suatu ketika dahulu, identiti Dayak cukup digeruni dan dihormati di Sarawak, namun ianya tidak berkekalan lama apabila pada tahun 1966, keturunan Melayu Melanau mula mengambil alih secara perlahan-lahan. Akibat kuasa dan tamak, Dayak akhirnya tumpas. Darurat telah diisyhtiharkan.

Bukan niat untuk mengagungkan-agungkan kebangkitan Dayak untuk memerintah tanahnya sendiri, sebaliknya ini adalah sebagai reaksi balas Dayak yang sekian lama kecewa dengan kepimpinan Taib Mahmud (PBB) yang tegar mengamalkan rasuah serta nepotisme. Mereka sudah hilang kepercayaan terhadap sistem sedia ada. Rakan-rakan Dayak selalu berpendapat, faedah besar dan perhatian rapi mampu diperolehi sekiranya warga Dayak menjawat Ketua Menteri Sarawak. Untuk makluman, Dayak adalah kaum majoriti di Sarawak. Harus diingat, kenyataan ini tidak boleh disamakan seperti Ibrahim Ali yang mengapi-apikan perkauman yang mampu mencetuskan keganasan, mengancam kaum lain secara sistematik dan sebagainya. Oleh sebab itu, saya bersedia mempertahankan hujah bahawa andai Dayak kembali menerajui tampuk negeri suatu hari nanti, persoalan yang harus dibangkitkan adalah, adakah beliau akan berlaku adil kepada semua? Melawan rasuah dan nepotisme? Menegakkan demokrasi dan urustadbir yang cekap dan amanah?

Harus diingat, isu-isu nasional dan pusat sering diambil kira dalam menilai situasi negeri oleh kebanyakan warga Sarawak. Pada pandangan saya, ini merupakan satu kesilapan yang besar dan salah faham berlaku tanpa ada pembetulan. Apabila saya bercakap mengenai demokrasi, negara hukum, ketelusan, integriti dan politik kepartian, ada sahaja tanggapan mengatakan bahawa ianya tidak berkaitan langsung dengan situasi kehidupan seharian mereka. Ada pula mendakwa ini merupakan sebahagian daripada propaganda semenanjung untuk mencampuri urusan domestik negeri Sarawak. Apabila saya berbicara soal agenda perubahan Kerajaan Selangor sepanjang 2 tahun pentadbirannya, dan mencadangkan agar ianya diteladani, idea ini diketepikan mudah tanpa berfikir.

Mereka lupa bahawa undang-undang nasional digubal di Dewan Rakyat, bukan di Dewan Undangan Negeri (DUN), dasar-dasar bermula di Putrajaya, bukan bermula di Petrajaya. Rasuah berbillion ringgit melibatkan skandal kapal selam, PKFZ, enjin jet hilang, subsidi, politik wang; semua wang pembayar cukai di Malaysia, tiada yang terkecuali. Warga Sarawak turut mempunyai undi dan suara untuk didengar oleh Putrajaya dan Parlimen. UMNO mungkin tidak bertapak di Sarawak, akan tetapi pengaruh yang dikenakan terhadap kepimpinan Barisan Nasional negeri cukup signifikan. Warga Sarawak tidak berdaya untuk menghalang strategi halus Taib Mahmud untuk menghentikan kemasukan Melayu ke Sarawak, kemasukan 1.2 juta pekerja asing untuk SCORE, kemasukan hampir 6,000 guru Semenanjung dengan harapan menafikan kuasa pemerintahan Dayak Sarawak. Andai Tun Jugah dan Stephen Kalong Ningkan masih hidup, sudah tentu beliau berasa kecewa dengan perkembangan ini. Saya melihat mungkin ini sebab Ningkan berkeras enggan melepaskan jawatan Ketua Menteri sehingga tercetusnya Darurat pada tahun 1966 melihatkan keadaan ini akan berlaku sekiranya Rahman dan Taib mengetuai kerajaan negeri.
Kepimpinan Dayak Sarawak

Soal Dayak dengan populasi seramai 1.3 juta orang, menjadi tuan punya negeri tidak boleh menjadi ukuran utama. Pada hari ini, Dayak juga amat berkuasa dalam kerajaan Barisan Nasional Sarawak. Nama-nama besar seperti Alfred Jabu, James Masing, Richard Riot, James Dawos dan ramai berupaya mencorakkan jatuh bangun Dayak Sarawak. Seperti mana Melayu, yang kaya, korup dan berkuasa diangkat, manakala yang miskin dan busuk diabaikan. Pemimpin Dayak yang berperangai sedemikian akan ditolak mentah-mentah oleh warga Sarawak. Wujudnya para pemimpin Dayak ini, maka terus berpecahlah bangsanya mengikut aliran politik semasa, bukan lagi berdasarkan persamaan budaya, bahasa dan kepentingan generasi akan datang. Aktivis Dayak terkenal, Dr John Brian Anthony pernah menulis “One country will be collapsed if their own army unable to protect their country from attacking by their enemy”

Lantas, menurutnya lagi, warga Sarawak harus mula berani mempersoalkan mengapa kesepaduan warga Sarawak penting dalam pengurusan politik ekonomi negeri? Adakah budaya dan tradisi warga Sarawak selama ini mengekang perkembangan pemikiran, pemodenan dan identiti? Apakah ada wujudnya pihak ketiga yang mempunyai niat buruk terhadap kesepaduan warga Sarawak? Andai terbukti ada, mengapa berlakunya perkara demikian? Pada tahun lepas, kerajaan Sarawak telah mencetuskan kemarahan Dayak apabila mencadangkan mengugurkan terma ‘Dayak’ dalam mana-mana borang rasmi kerajaan sekaligus mencabar ketetapan Perlembagaan Negeri Sarawak.

Kuasa Ketiga

Dayak Sarawak khususnya, tidak memiliki sumber kewangan, dana dan pengaruh yang kukuh sebagaimana Melayu di Semenanjung, akan tetapi, saya ingin menegaskan bahawa penyusunan semula kuasa lobi (majoriti) secara sistematik dalam proses pembuatan keputusan politik yang mempengaruhi masa depan bangsa amatlah penting. Kuasa akar umbi yang rapi dan dipimpin oleh Dayak yang berkaliber dipercayai berupaya mengatasi rasa bimbang dan rendah diri apabila berdepan dengan pihak ketiga yang juga mungkin terdiri daripada Dayak Sarawak.
Kekayaan Sarawak, Kemiskinan warganya

Diawal wacana ini, disebut mengenai kekecewaan yang tidak tertanggung oleh warga Sarawak berhubung pengurusan ekonomi negeri yang lemah dan berlakunya insiden-insiden rasuah berleluasa. Disebut juga kekuatan pengaruh kronisme dalam pengagihan projek-projek pembangunan yang dipersoalkan sepertimana yang dikenalpasti dalam Laporan Ketua Audit Negara. Masa depan gergasi Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) pula kini entah ke mana Projek Empangan Bakun terus berteka teki samaada wajar diselamatkan oleh wang pembayar cukai apabila konglomerat nasional Sime Darby, pemegang kepentingan utama projek ini mengalami kos lebihan tertanggung berjumlah RM 1.7 billion baru-baru ini.


Di Sarawak, SCORE merupakan nama besar yang sering dikagumi dan dibanggakan oleh warga Sarawak apatah lagi ia merupakan projek yang bakal memberikan kesan langsung terhadap pembangunan fizikal disekitarnya. Mereka dimaklumkan bahawa keperluan tenaga kerja yang besar dan gaji lumayan ditawarkan kepada warga tempatan dalam pelbagai bidang termasuklah tenaga, perindustrian, minyak dan gas. Setiap kali kenyataan ini dibuat oleh Menteri Sarawak, secara tidak langsung, persaingan memuncak untuk memasuki latihan dan sekolah vokasional demi impian untuk bekerja dalam bidang yang ditawarkan dalam projek SCORE. Walaupun begitu, kerisauan tetap ada.

Mereka amat prihatin dan mengambil serius terhadap isu ini kerana kekurangan kelengkapan prasarana yang ketara; bekalan elektrik, air bersih serta komunikasi masih menjejaskan kehidupan seharian. Anak-anak mudanya pula dahagakan peluang pekerjaan sehinggakan ada yang berhijrah ke Semenanjung untuk sesuap nasi. Barangkali laporan akhbar massa The Star pada awal bulan Mac 2010 telah membuka mata semua mengenai kepayahan 400 anak-anak muda Sarawak dan Sabah yang tidak mempunyai tempat tinggal di sekitar Kuala Lumpur semata-mata hendak mencari peluang pekerjaan.


Realiti.
Statistik daripada laporan program Merakyatkan Ekonomi Selangor 2010 umpamanya, Sarawak mendahului semua negeri dari segi jumlah pelaburan modal pada 2008 dan 2009, pencapaian tersebut berlaku kerana pelaburan tunggal untuk projek aluminium di Bintulu yang bernilai USD 2 billion (kira-kira RM 7 billion). Sumber daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam tempoh Januari – Disember 2009 pula mencatatkan sebanyak 20,753 peluang pekerjaan berpotensi untuk dibuka kepada warga Sarawak. Pertumbuhan ekonomi yang pesat tidak bermakna apabila hakikatnya cukup pahit untuk ditelan. Apa makna pertumbuhan angka ekonomi yang besar tanpa pengagihan hasil kekayaan yang menyeluruh? Justeru itu, saya amatlah tidak bersetuju apabila mengatakan negeri Sarawak adalah negeri ketiga termiskin di Malaysia sedangkan kaya dengan hasil mahsul, balak, minyak dan gas. Miskin, menurut pandangan saya adalah Dayak Sarawak, iaitu penghuni asal bumi Kenyalang.
Soal tumbuh atau tidak seharusnya lagi menjadi pokok perbincangan hari ini. Memetik The Asian Renaissance, yang dikarang oleh Anwar Ibrahim (1997), perdebatan sebaliknya harus tertumpu kepada apakah bentuk pertumbuhan yang benar-benar dikehendaki. Falsafah pertumbuhan yang dimaksudkan adalah integrasi dalam pembangunan manusianya sepertimana tertulis dalam Laporan Pembangunan Manusia pada tahun 1996. Tidak berteraskan kepada arus pertumbuhan yang memperkayakan segelintir sementara kemiskinan menjalar luas, pertumbuhan yang tidak berupaya memberikan kesan peluang pekerjaan, tidak menghakupayakan rakyat yang melenyapkan suara-suara kritikan dan menghakis identiti kebudayaan satu-satu bangsa.
Bahkan inilah yang menjadi tumpuan apabila Model Ekonomi Baru diperkenalkan. Dayak gelisah menantikan manfaat yang bakal diberikan oleh kerajaan. Hairannya, pimpinan Dayak Sarawak dilihat kurang menunjukkan minat yang mendalam terhadap pengumuman kerajaan ini. Mereka bersifat pasif dalam beberapa isu yang dibangkitkan kecuali beberapa komentar pembaharuan struktur subsidi oleh Taib Mahmud baru-baru ini. Saya juga berpendapat bahawa Model Ekonomi Baru ini dianggap sebagai pelan ekonomi untuk Semenanjung sahaja.

Semua warga Sarawak mengetahui dasar-dasar politik ekonomi yang digagaskan oleh kerajaan Barisan Nasional semenjak Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional dan Wawasan 2020 jauh sekali untuk difahami, dilaksanakan apatah lagi membantu mengeluarkan mereka dari kemiskinan. Persoalannya kini, apakah Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia ke 10 akan datang menawarkan sesuatu yang realistik kepada Sarawak?

Dalam seminar anjuran Sarawak Graduates Association (SGA) yang pernah dihadiri oleh saya pada tahun 2005, Dr Richard Leete dari UNDP telah membentangkan kertas kerja yang bertajuk ‘The Paradox of Poverty Studies’ membayangkan kaum Iban merupakan warga Sarawak yang paling miskin dengan kadar 10.5%. Sementara kadar purata kemiskinan negeri pula adalah 5.8% dimana Melayu merekodkan 5.2%, orang Ulu termasuklah Kayan, Kenyah, Kelabit dan Lun Bawang dengan kadar 6.8% manakala kaum Cina dengan kadar 1%. Ini sekaligus membuktikan bahawa dasar-dasar tadi tidaklah membawa harapan besar kepada warga Sarawak. Tambahan pula, kemajuan luar bandar Sarawak sepanjang tempoh bersama Malaysia amatlah perlahan. Adakah proses tersebut bermakna sengaja melengah-lengahkan pembangunan semata-mata ingin meraih undi sewaktu pilihanraya atau menyekat kemasukan informasi- informasi yang dikhuatiri bakal menenggelamkan pengaruh Barisan Nasional negeri?
Kebimbangan yang disuarakan oleh Joseph Tawie adalah eksploitasi keterlaluan Model Ekonomi Baru apabila sumber asli seperti tanah dan projek pembangunan besar-besaran; ancaman dan mimpi ngeri warga Sarawak yang kini menderita akibat pernindasan sistematik berterusan oleh pemerintah. Semakin banyak hutan dirogol, semakin banyak gunung dan bukit ditarah, semakin banyak tanah dirompak oleh kroni-kroni pemerintah, semakin ramai Dayak menjadi mangsa pembangunan, semakin banyak kes tertangguh di mahkamah. Dan semakin hilanglah kepercayaan warga Sarawak terhadap kerajaan Barisan Nasional pada hari ini.
Apa tidaknya, Dayak sedang melihat ancaman pendekatan baru Model Ekonomi Baru yang menekankan industri kelapa sawit sebagai penjana pendapatan lumayan kerajaan. Sudah tentu, tanah adat Dayak akan menjadi pertaruhan besar ketika sudah wujud usaha untuk meneroka 1 juta hektar kawasan penanaman kelapa sawit baru menjelang akhir tahun ini. Sekarang, apa perlu Dayak lakukan untuk menanganinya? Dayak berada dalam keadaan dilema dimana, sekiranya menentang pembangunan, maka akan dianggap pembangkang dan konservatif, sekiranya Dayak menerima pembangunan bulat-bulat, maka tanah adat akan hilang akibat dirompak oleh pemerintah kerana pada pandangan Taib Mahmud “Land without development is poverty trap”
Tambahan pula, baru-baru ini, kerajaan negeri Sarawak dilaporkan akan menerima hasil negeri untuk tahun 2010 berjumlah RM 3.5 billion. Kita menggesa agar kerajaan negeri menjelaskan kepada warga Sarawak mengenai butirannya; berapakah hasil keuntungan minyak dan gas? Berapakah keuntungan pelaburan kerajaan negeri? Berapakah hasil kutipan cukai langsung dan tidak langsung, dan jumlah peruntukkan dari kerajaan pusat untuk tujuan pembangunan? Kemudiannya, apakah butiran perbelanjaannya, kemana wang berbillion ini dibelanjakan? Apakah kerajaan berbelanja melebihi hasil yang diperoleh? Kebanyakan Dayak menceburkan diri dalam bidang pertanian, apakah butiran peruntukkannya? Mengapa syer-syer dalam kumpulan perniagaan dan perindustrian negeri kecil?

Itu sebab kekuatan politik akar umbi yang kuat termasuk badan bukan kerajaan cukup kritikal dalam mengimbangi sistem kuasa politik dominan Barisan Nasional negeri pada hari ini. Saya secara peribadi yakin, kesedaran dan kebangkitan warga Sarawak sedang berlaku dalam keadaan sebagaimana yang digambarkan oleh seorang sahabat Iban sejurus kemenangan Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya kecil Sibu lalu, permukaan sungai Rejang yang tenang, pada dasarnya amatlah deras tekanannya. Momentumnya harus ditingkatkan dari semasa ke semasa dan sekiranya ia dijalankan secara konsisten, maka kepercayaan terhadap Pakatan Rakyat sebagai kerajaan alternatif akan semakin menebal.




No comments:

Post a Comment