Sunday, November 28, 2010

Aku dan Kongres Nasional PKR 2010

Buat pertama kalinya, aku menghadiri dalam Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat. Aku bukan anggota Keadilan. Aku juga bukan anak era Reformasi. Aku masih di bangku sekolah pada tahun 1998. Waktu sama ketika Anwar Ibrahim dizalimi oleh Mahathir. Aku baca buku karangan Anwar Ibrahim, The Asian Renaissance di Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Universiti Utara Malaysia sebelum bangkit melawan kepimpinan Tan Sri Dr Nordin Kardi pada awal tahun 2009. Ingatkan cerdik orang tua itu, rupa-rupanya masih tidak tahu bezakan minyak dan gas dengan Penjana Tenaga Bebas (IPP). Malu aku mengaku mahasiswa UUM. Apa hendak aku jawab pada orang luar?




Tiga hari aku di sana, aku menumpukan perhatian sepenuhnya dalam sesi ucapan dasar Presiden dan perbahasan para peserta. Banyak sekali ungkapan-ungkapan indah dikatakan oleh pembahas-pembahas baik memuji ketokohan Anwar Ibrahim mahupun mengangkat nilai-nilai reformasi agar kekal segar dalam perjuangan arus perdana parti. Melawan Barisan Nasional habis-habisan juga turut ditekankan.

Banyak juga aku dengar cadangan-cadangan memantapkan parti dan tidak kurang juga yang berucap memperingatkan sesetengah pemimpin parti yang mudah lupa. Ada juga pembahas-pembahas Sarawak yang kelihatannya bersungguh-sungguh menyuarakan rintihan dan kesukaran jentera parti sebagai persediaan dalam pilihanraya negeri yang bakal berlangsung pada tahun hadapan.

Aku adalah anak muda yang berjiwa besar. Yang punya iltizam tinggi melakukan perubahan. Aku mungkin tidak hadir di jalanan pada tahun 1998 bersama-sama dengan teman reformis, tetapi dengan semangat kental dan tidak putus asa aku, aku berjuang akal dengan terus mengenengahkan idea-idea bernas agar Malaysia, pada suatu hari kelak diperintah oleh barisan Pakatan Rakyat yang punya ketetapan kerajaan bertanggungjawab, yang faham akan demokrasi, yang faham akan kebebasan individu dan ekonomi dan yang tidak akan mengulangi kesilapan lampau.

Bagi aku, Anwar Ibrahim adalah pemimpin Pencerahan Asia. Bukan senang hendak aku carikan seorang sosok politik yang suka berfalsafah dan teguh keyakinannya seperti beliau di Malaysia. Kenal Anwar Ibrahim, aku mula berkenalan dengan Pak Khalid dan konco-konconya. Aku sangka aku keseorangan, akhirnya tidak lagi. Teman sesama aliran fikiran bercambah banyaknya di Kuala Lumpur.

Kelebihan Anwar Ibrahim, walau diancam, diserang kiri dan kanan, Anwar Ibrahim tetap Anwar Ibrahim. Tidak ada media Keadilan segagah BN dapat tumpaskan dakyah jahat itu, Anwar Ibrahim belum lagi berkubur. Ada kesempatan, Anwar Ibrahim harus menjadi Perdana Menteri Rakyat Malaysia. Aku puji Keadilan kerana tetap teguh di atas kebenaran, bukan kepalsuan. Utusan Malaysia menyerang tiap-tiap hari. Tugas aku tiap-tiap hari baca Utusan Malaysia dan membuat rumusan. Tetapi, aku tidak bimbang kerana propaganda ini tidak akan meranapkan keyakinan umum terhadap slogan Keadilan Untuk Semua.

No comments:

Post a Comment